MANCHESTER – Pemain tengah Manchester United, Bruno Fernandes dilaporkan bersedia untuk menadatangani kontrak baharu yang menyaksikan dia akan terus kekal di Old Trafford untuk tempoh lima tahun lagi.
Perancang United itu dijangka menerima gaji mingguan lebih sekali ganda berbanding apa yang diterima iaitu sekitar £240,000 (RM1.33 juta) bagi kontrak baharu sehingga 2027.
Perjanjian baharu itu nanti menyaksikan pemain antarabangsa Portugal itu akan menjadi salah seorang pemain United yang menerima pendapatan mewah, namun masih ketinggalan berbanding David De Gea (RM2.08 juta) dan Cristiano Ronaldo (RM2.5 juta).
Rundingan antara wakil Fernandes dan pihak pengurusan United dilaporkan berlangsung sejak tahun lalu, namun mereka dilaporkan menemui kata sepakat sejak beberapa minggu lalu untuk terma kontrak baharu tersebut.
Fernandes, 27, menyertai United dari Sporting Lisbon dengan nilai £47 juta (RM261.18 juta) pada Januari 2020 dengan kontrak lima tahun dan meraih pendapatan mingguan hanya £100,000 (RM555,000).
Dia tidak menunggu lama apabila muncul sebagai tonggak penting pasukan itu apabila meledak 28 gol musim lalu, namun prestasi sedikit menurun musim ini tetapi masih menjadi pemain kedua menjaringkan gol terbanyak di belakang Ronaldo dengan sembilan gol.
Kontrak baharu itu nanti juga menyaksikan United akan ‘menyimpan’ Fernandes sehingga usianya mencapai 33 tahun dan dia mengakui berminat untuk meneruskan karier dalam bidang kejurulatihan selepas bersara.
“Saya sangat menikmati bola sepak. Saya fikir saya mahu menjadi jurulatih. Secara jujur, saya gembira jika cita-cita itu tercapai nanti.
“Saya tidak tahu pasukan mana yang saya akan uruskan nanti, tapi sudah jika diberi pilihan untuk pasukan yang besar, sudah tentu ia Manchester United,” jelasnya. – AGENSI