fbpx

Anak peniaga pisang goreng terima dua anugerah khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MASRANI berkongsi kegembiraan dengan ibunya Rosmiati, selepas menerima dua anugerah khas. - SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Anak kepada peniaga pisang goreng gagal menahan sebak apabila mengalirkan air mata sebaik diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Sharifah Rokiah dan Anugerah Naib Canselor pada Konvokesyen Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) di sini semalam.

Graduan tersebut, Masrani Awang, 26, dari Sandakan, Sabah menerima Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) dengan Kepujian.

Menurut Masrani, dia ber­syukur kerana berjaya menamatkan pengajiannya di AIU dengan Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.67.

“Alhamdulillah, saya gembira kerana dapat menjadi sebahagian daripada ‘keluarga’ AIU yang mana pahit manis perjalanan sebagai pelajar ditempuhi bersama.

“Saya bersyukur kerana di­pilih untuk menerima dua anugerah pada konvokesyen sulung ini dan ini adalah hadiah buat ibu bapa saya iaitu Awang Abdullah, 73, dan Rosmiati Arase, 64,” katanya ketika ditemui pada majlis konvokesyen itu di sini semalam.

Katanya lagi, dia merupakan salah seorang penerima biasiswa penuh daripada Yayasan Albukhary untuk mengikuti pengajian selama tiga tahun di AIU.

“Pengajian saya dan pelajar lain termasuk dari luar negara ditanggung sepenuhnya termasuk kemudahan asrama yang sangat selesa.

“Kami dipilih berdasarkan kelayakan akademik dan juga latar belakang keluarga berpendapatan rendah,” ujarnya yang merupakan anak sulung daripada dua beradik.

Ujarnya, kos pengajian yang ditanggung dianggarkan lebih RM70,000 bagi tempoh tiga tahun.

Seorang lagi penerima Anugerah Naib Canselor, Mariyam Ramshau Ilyas, 22, berkata, dia gembira dapat menamatkan pe­ngajian dengan keputusan baik iaitu CGPA 3.65.

“Saya berterima kasih kepada pihak universiti kerana membia­yai sepenuhnya pengajian saya. Jika tidak mendapat biasiswa, saya terpaksa bekerja sambil belajar di Maldives,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor AIU, Prof. Datuk Dr. Abd. Aziz Tajuddin berkata, pada masa ini terdapat seramai 900 pelajar dari 56 negara mendapat biasiswa bagi menyambung pengajian di AIU.

“Di AIU, sebanyak 87 peratus adalah pelajar antarabangsa, manakala selebihnya pelajar tempatan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI