BACHOK – Bahagian Multimedia Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menerbitkan sebanyak 2,000 judul buku karya tempatan yang dicetak sejak tahun 1958 dalam bentuk digital menerusi laman web Jendela DBP.
Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran berkata, penerbitan secara digital itu bermula sejak Januari lalu dan dijangka dapat disiapkan hujung tahun ini.
Menurutnya, antara karya yang diterjemahkan dalam bentuk digital adalah novel, bahan bacaan bukan fiksyen, jurnal dan lain-lain bertujuan untuk memupuk generasi baharu terus membaca melalui gajet.
“Bahan-bahan bacaan ini boleh diakses menerusi laman Jendela DBP yang menampilkan kembali karya lama yang sudah tiada di pasaran.
“Ia merupakan usaha DBP untuk mendekatkan generasi baharu dengan kesusasteraan, kronologi penceritaan dan puisi. Penghasil atau penulis asal bahan yang diterbitkan akan turut menerima bayaran royalti yang ditetapkan,” katanya ketika temui selepas Majlis Kembara Titah Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abang Sallehuddin menambah, DBP juga bekerjasama dengan pelbagai pihak yang mahir dalam dunia pendigitalan termasuk beberapa universiti tempatan bagi mencapai objektif berkenaan.
Menurutnya, selera generasi baharu dan perkembangan teknologi maklumat masa kini perlu dikuasai untuk mengembangkan pembacaan dalam kalangan orang ramai. – KOSMO! ONLINE