KOTA BHARU – Polis menambah sebanyak 60 ekor lagi kuda yang dikendalikan oleh unit berkuda untuk membantu penugasan rondaan di tiga negeri sempadan Malaysia-Thailand sebagai persiapan menjelang pembukaan sempadan negara pada 1 April ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, penambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 100 ekor kuda bagi penugasan polis di Kelantan, Kedah dan Perlis.
Menurutnya, polis tidak bercadang untuk menambah anggota di negeri-negeri terbabit selepas mendapati kekuatan sedia ada sudah mencukupi.
“Ketua Polis Kelantan, Kedah dan perlis akan melakukan pelancaran unit berkuda di negeri masing-masing pada 1 April nanti.
“Kita sudah membuat persiapan sepenuhnya untuk pembukaan sempadan negara dan unit berkuda yang berpusat di Cheras, Kuala Lumpur akan dibawa ke tiga negeri ini dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Reunion Ex-Batalion 11, Pasukan Polis Hutan (PPH) di Batalion 8 PGA, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hazani memberitahu, tugasan sempadan akan dilakukan seperti biasa oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) manakala Pasukan Polis Marin (PPM) pula akan menjalankan tugas rondaan di perairan negara.
Sementara itu, ketika ditanya persiapan polis untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU), Hazani berkata, pihaknya sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan untuk pilihan raya itu diadakan pada bila-bila masa.
“Ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor baru-baru ini, polis tidak berdepan masalah memastikan kelancarannya serta menjaga keselamatan orang awam dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE