SEREMBAN- Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menerima Ijazah Kehormat Felo Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia sempena Majlis Konvokesyen Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia di sini hari ini.
Baginda yang merupakan Penaung Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia ketika bertitah pada majlis tersebut menzahirkan ucapan terima kasih baginda di atas penganugerahan tersebut.
“Ini adalah satu penghormatan yang amat beta hargai. Semenjak menjadi penaung akademi ini, beta lebih memahami peranan serta kepentingan kepakaran perubatan keluarga kepada masyarakat,” titah baginda.
Terdahulu, pembacaan petikan penganugerahan ijazah kehormat berkenaan telah disampaikan oleh Presiden Akademi Kedoktoran Malaysia, Prof. Madya Dr. Chandramani Thuraisingham.
Tuanku Muhriz dalam pada itu turut bertitah, pakar perubatan keluarga adalah sumber yang paling tepat untuk mendapatkan analisa dan input mengenai keperluan kesihatan rakyat di Malaysia.
Ini kerana menurut baginda, para pengamal perubatan dalam bidang kepakaran perubatan keluarga adalah merupakan individu yang hampir dengan orang ramai kerana mereka sentiasa bersemuka dengan masyarakat dalam memberikan perkhidmatan kesihatan.
“Maklumat daripada pakar perubatan keluarga boleh membantu kerajaan dalam menentukan status semasa kesihatan awam dan membuat perancangan program kesihatan yang sesuai dengan keperluan rakyat,” titah baginda. -KOSMO! ONLINE