fbpx

SPM 2021 Sesi Kedua bermula 5 April ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Calon SPM di SMK Zainab 1 bersiap-sedia untuk memasuki dewan peperiksaan untuk menduduki kertas Bahasa Melayu baru-baru ini. GAMBAR HIASAN FOTO: ZULHANIFA SIDEK

PUTRAJAYA – Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 yang sebelum ini tidak dapat menduduki Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris), Ujian Amali Sains dan Ujian Bertulis kini boleh mendudukinya pada 5 April hingga 19 Mei ini.

Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, ujian SPM tahun 2021 Sesi Kedua dilaksanakan untuk calon yang sebelum ini positif Covid-19, dikuarantin, terkesan akibat bencana banjir atau kes-kes yang mendapat kelulusan Pengarah Peperiksaan.

“Calon yang terlibat dengan peperiksaan SPM tahun 2021 sesi kedua perlu menyemak, mengesahkan dan mencetak Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan yang mengandungi maklumat pusat peperiksaan ditetapkan, tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan mulai 1 April 2022.

“Semua maklumat tersebut boleh didapati melalui pautan https://elp.moe.gov.my atau aplikasi mobile e-Lembaga Peperiksaan yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, jadual waktu peperiksaan SPM tahun 2021 sesi kedua serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung pula boleh dimuat turun dari portal rasmi LP di http://lp.moe.gov.my juga pada 1 April 2022.

“Calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan yang dicetak ke pusat peperiksaan selain mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh KPM,” kata kenyataan itu.

Menerusi lampiran yang disediakan, Ujian Berutur Bahasa Melayu akan dijalankan pada 5 April, manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pula pada 6 April diikuti oleh Ujian Mendengar (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris) pada pagi 7 April.

Pada sebelah petang 7 April pula akan diadakan Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa manakala Ujian Bertulis akan dilaksanakan selama 15 hari bermula 11 April hingga 18 Mei ini.

Ia akan diakhiri dengan Ujian Amali Sains yang dijalankan pada 19 Mei 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI