LONDON – Sebuah rumah unik di kejiranan Richmond, London digelar ‘rumah halimunan’ kerana memiliki dinding-dinding cermin gergasi yang akan memantulkan cahaya sekali gus menyebabkan ia seperti tidak kelihatan, lapor laman Oddity Central kelmarin.
Rumah itu terletak di jalan A316 berdekatan dengan stesen kereta api bawah tanah Richmond.
Kediaman itu oleh seorang arkitek bernama Alex Haw pada 2015. Ia didiami oleh sebuah keluarga sejak 2019. Walaupun orang yang lalu lalang tidak dapat melihat ke dalam bahagian dalam rumah berkenaan, pemiliknya dapat melihat keadaan di luar dengan baik.
“Pereka kami, Alex Haw muncul dengan idea cermin gergasi. Cermin itu membuatkan rumah ini ‘bercakap dengan persekitarannya’.
“Anda boleh melihat pokok-pokok di bulatan dan awan-awan memantul pada rumah kami. Kami sangat menyukai idea Haw,’’ kata pemilik rumah tersebut yang enggan identitinya didedahkan kepada laman berita MyLondon.
Foto rumah halimunan itu baru-baru ini tular di laman perkongsian Reddit. Ia meninggalkan begitu banyak soalan yang tidak terjawab daripada orang ramai.
Ada pengguna tertanya-tanya berapa banyak masa dan usaha yang perlu dilakukan oleh pemilik untuk memastikan cermin kediamannya sentiasa bersih, manakala sebilangan netizen pula bertanya bagaimana mereka tidak sedar tentang kediaman itu walaupun telah melewatinya berulang kali. – Agensi