fbpx

Program Jelajah Simpan SSPN 2022 bantu pelajar asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Saiful (dua kiri) menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima di Langkawi.

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menganjurkan program Jelajah Simpan SSPN bagi membantu pelajar asnaf dari aspek pendidikan serta sebagai galakan awal untuk memulakan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi mereka.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, program itu juga bertujuan agar PTPTN lebih dekat dengan masyarakat bagi membentuk kesedaran penabungan melalui Simpan SSPN untuk jaminan masa depan anak-anak Malaysia.

Beliau berkata, PTPTN menjadikan Simpan SSPN sebagai platform terbaik untuk menggalakkan ibu bapa memulakan simpanan agar anak-anak tidak tercicir dari mendapat akses pendidikan tinggi disebabkan masalah kewangan.

“Program seumpama ini sudah tentu akan memberi manfaat kepada masyarakat dan membantu golongan yang memerlukan. Inilah bukti usaha PTPTN yang sentiasa komited dan prihatin untuk membantu dan menyokong masyarakat dalam memartabatkan pendidikan.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru agar penabungan melalui Simpan SSPN dijadikan pilihan utama bagi pemberian insentif atau hadiah kecemerlangan mahupun kokurikulum kepada pelajar,” katanya pada Program Jelajah Simpan SSPN 2022 di Hotel Aseania, Pantai Tengah, Langkawi hari ini.

Tambahnya, PTPTN juga amat mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai agensi lain untuk sama-sama membudayakan amalan penabungan dan menyokong usaha PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara.

“Program Jelajah Simpan SSPN 2022 melibatkan sumbangan zakat PTPTN kepada 3,000 orang pelajar asnaf dari 30 kawasan terpilih di beberapa negeri yang diberikan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime.

“Di negeri Kedah, Program Jelajah Simpan SSPN akan melibatkan 16 kawasan dan kawasan Langkawi merupakan salah satu lokasi untuk diadakan program ini,” tambahnya.

Selain itu katanya, seramai 100 orang pelajar asnaf di kawasan ini menerima sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime bernilai RM100 setiap seorang dengan peruntukan berjumlah RM10,000.

“Program ini telah mendapat kerjasama yang baik daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi, Maktab Rendah Sains MARA Langkawi (MRSM Langkawi), pihak sekolah dan pemimpin setempat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI