MOSCOW – Kremlin memberi amaran keras akan menghancurkan Poland sekiranya negara itu cuba untuk masuk campur dalam perang di Ukraine, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Mesej berbaur ugutan itu disampaikan oleh Timbalan Dewan Rendah Duma, Jeneral Vladimir Shamanov yang juga bekas komander Tentera Udara Rusia.
“Saya rasa sudah tiba masanya kerajaan menetapkan bahawa ada sempadan dan had di Rusia yang tidak boleh dilanggar oleh mana-mana negara.
“Jika Poland berani, saya cabar untuk mereka melintasi sempadan walau sejauh 10 meter untuk melihat bagaimana Rusia akan bertindak balas,” kata Shamanov.
Tambah Shamanov, peringkat akhir perang akan berlaku berhampiran sempadan Ukraine-Poland dan Poland akan menerima tindak balas di bawah sepenuhnya termasuk bedilan peluru berpandu hipersonik.
Amaran itu dibuat berikutan cadangan Poland untuk menghantar pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Ukraine.
Menurut rancangan Kementerian Pertahanan Poland yang dibocorkan ke laman web berita onet.pl, misi pengaman membayangkan sehingga 10,000 tentera dihantar ke Ukraine.
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov berkata, langkah itu akan membawa kepada pertempuran langsung dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Menerusi respons di media sosial, bekas Presiden Rusia,Dmitry Medvedev menggelar kepimpinan Poland sebagai bodoh politik yang menyebarkan propaganda ‘kesat’ tentang Rusia.
Seorang jurucakap juga telah memberi amaran bahawa Moscow bersedia untuk menggunakan senjata nuklear terhadap Poland dan negara-negara Baltic dan Warsaw akan dimusnahkan ‘selepas dua saat’.
Ketika ketegangan antara kedua-dua negara semakin memuncak, ratusan ribu tentera NATO diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg berkata bahawa terdapat 100,000 anggota tentera AS di Eropah dan 40,000 askar di bawah arahan langsung NATO.
Beliau menambah, ketumbukan tersebut disokong oleh kuasa udara dan laut utama termasuk lima kumpulan kapal induk. – Agensi