KOTA TINGGI – Seorang nelayan tempatan berdepan detik cemas apabila jarinya terputus ketika sedang menarik pukat di perairan Tanjung Sedili, pagi semalam.
Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat kecemasan pada pukul 9.20 pagi daripada nelayan tempatan.
Katanya, nelayan berkenaan memaklumkan salah seorang rakan mereka putus jari akibat tersepit pada mesin penarik pukat di kedudukan 10.8 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Besar.
“Bot pengadu juga dilaporkan tidak dapat bergerak kerana mengalami kerosakan. Mangsa, Azmi Arifin, 46, putus satu jari akibat tersepit ketika melakukan kerja-kerja menarik pukat.
“Berikutan itu, Maritim Malaysia segera mengkoordinasikan bantuan MEDEVAC dengan menghubungi komuniti maritim yang berada berdekatan untuk mengambil mangsa di lokasi.
“Mangsa telah dibawa ke jeti Zon Maritim Tanjung Sedili pada pukul 1.45 petang dan dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili untuk menerima rawatan awal seterusnya dibawa ke Hospital Sultan Ismail bagi rawatan lanjut,”katanya dalam kenyataan hari ini. -KOSMO! ONLINE