RIYADH – Pemberontak Houthi di Yemen didakwa bertanggungjawab melancarkan serangan peluru berpandu yang mengenai depoh minyak yang terletak berhampiran litar perlumbaan Formula Satu(F1) di Jeddah.
Litar tersebut merupakan lokasi perlumbaan Grand Prix Arab Saudi esok.
Menurut akhbar Daily Mail, letupan kuat itu memaksa bintang F1 termasuk Lewis Hamilton, Max Verstappen dan Charles Leclerc menghentikan sesi latihan. Peluru berpandu Houthi itu mengenai Loji Pukal Jeddah Utara yang terletak hanya 19 kilometer ke tenggara litar tersebut.
Serangan itu adalah yang kedua ke atas depoh bahan api Arab Saudi sejak beberapa hari lalu. Misil tersebut menyebabkan letupan yang sangat kuat sehingga dapat dikesan pada kamera pemuka pemandu Ferrari, Carlos Sainz.
Serangan itu mendorong permulaan sesi latihan kedua ditangguhkan selama 15 minit untuk perbincangan tergempar bersama Presiden Formula 1, Stefano Domenicali mengenai sama ada perlumbaan akan diteruskan atau sebaliknya.
Bintang Belanda, Max Verstappen turut bertanya kepada pasukannya sama ada kereta Red Bull miliknya terbakar ketika asap daripada serangan itu menyelubungi ruang udara.
Loji Pukal Jeddah Utara yang juga terletak berhampiran lapangan terbang antarabangsa di Jeddah adalah hab penting bagi jemaah haji Islam yang menuju ke kota suci Mekah.
F1 berkata, pihaknya masih menunggu maklumat lanjut daripada pihak berkuasa sebelum memutuskan sama ada tindakan susulan berhubung perlumbaan esok.
Syarikat Saudi Arabian Oil Co., yang dikenali sebagai Saudi Aramco, tidak melayan permintaan untuk mengulas mengenai serangan itu. – Agensi