PETALING JAYA – Penyanyi Baby Shima terkilan dan berang selepas dimarahi dan ditengking seorang lelaki ketika menjadi artis jemputan program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kangar, Perlis, semalam.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Shima atau nama lengkapnya Nor Ashima Ramli, 29, dilayan dengan kasar dan ditengking oleh seorang lelaki berkaca mata di khalayak ramai yang disifatkan sebagai tidak beradab.
“Kepada abang baju putih berkaca mata, saya datang ke program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Perlis untuk membuat persembahan.
“Sepatutnya saya kena bersedia di khemah KWP dan di belakang pentas lebih awal. Hidup biar beradab!
“Orang kalau buat baik dengan saya, saya akan hormat. Tapi kalau orang cari pasal, saya tidak akan diam,” katanya.
Tambah pelantun lagu Lalai itu lagi, kejadian yang dianggap memalukan itu turut disaksikan oleh orang ramai apabila lelaki tersebut menolak pintu dengan kasar dan menengkingnya.
“Sebab awak, kerja orang lain tergendala. Ramai saksi di sana. Awak tolak pintu dengan kasar dan tengking saya.
“Saya cakap baik-baik hendak masuk, tapi awak tunjuk lagak. Saya tidak diminta supaya dilayan seperti orang kenamaan, tapi tolong faham saya datang untuk bekerja,” ujarnya.
Shima dalam pada itu memberitahu terpaksa melawan lelaki tersebut kerana perlu berada di belakang pentas atas urusan kerja untuk membuat persembahan.
Menjengah dalam ruangan komen, beberapa pengikut penyanyi itu turut berkongsi pengalaman sama apabila turut ditengking dengan lelaki sama di acara tersebut.
“Memang kurang ajar. Saya pun kena tadi (ditengking). Shima datang untuk bekerja atas jemputan. Bukan suka-suka,” ujar seorang pengikutnya.
“Saya pun kena ‘sound’ tadi. Sangat biadab,” ujar seorang netizen. – KOSMO! ONLINE