KLANG -Kes pergaduhan yang tular antara dua individu yang juga jiran di sekitar Bandar Sultan Suleiman di sini berpunca teguran bermain bola sehingga terjatuh ke bumbung rumah.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata,pihaknya mendapati satu video mengenai pergaduhan itu tular di media sosial kelmarin.
Katanya, polis sudah menerima laporan yang dibuat kedua-dua pihak berkenaan.
“Kejadian itu berpunca akibat pihak pertama menegur anak pihak kedua kerana bermain bola di padang berhampiran rumahnya.
“Bola itu kemudian terjatuh ke bumbung tersebut dan mengakibatkan sedikit kerosakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Vijaya, pihaknya turut sudah memanggil kedua-dua pihak ke balai polis untuk direkodkan keterangan dan mereka bersetuju menyelesaikan perselisihan faham itu dengan cara baik.
“Kes diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (TTL),” ujarnya. -KOSMO! ONLINE