fbpx

JIM gempur pusat hiburan terkenal, 27 warga asing ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara warga asing yang ditahan ketika serbuan itu.

PETALING JAYA -Seramai 27 orang warga asing ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan terkenal yang menyajikan wanita warga asing di Ipoh, Perak Selasa lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi itu dilakukan berdasarkan maklumat awam dan risikan yang telah dijalankan hampir sebulan yang lalu.

“Seramai 58 orang warganegara Malaysia dan 28 warga asing dari pelbagai warganegara yang berumur dalam lingkungan antara 25 tahun hingga 42 tahun telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan itu, seramai 30 orang di tahan. Kesemua yang ditahan terdiri daripada 15 orang warganegara China, sembilan orang warganegara Vietnam, tiga orang warganegara Bangladesh dan tiga orang warganegara Malaysia,” katanya di sini hari ini.

Katanya, semasa serbuan dilakukan, wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pusat hiburan cuba untuk lari dan bersembunyi di bilik-bilik rahsia yang dibina khas bagi mengaburi pegawai penguatkuasa termasuk bersembunyi di atas syiling dan bumbung bangunan pusat hiburan berkenaan.

“Terdapat juga pelanggan yang cuba melakukan provokasi dengan membuat bising dan cuba menghalang pasukan melakukan penggeledahan namun tindakan tersebut berjaya dipatahkan.

“Modus Operandi yang digunakan oleh sindiket adalah menyasarkan pelanggan daripada kalangan pelanggan tetap sahaja dengan membuat tempahan melalui panggilan telefon,” ujarnya.

Selain itu katanya, untuk tempahan bilik, pelanggan dikenakan bayaran antara RM800 sehingga RM10,000 mengikut kategori bilik manakala untuk tempahan wanita warga asing bayaran dikenakan sebanyak RM150 sejam.

“Kes disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua tahanan dibawa ke Jabatan Imigresen Negeri Perak, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ipoh, Perak untuk tindakan lanjut. Manakala kesemua pelanggan yang diperiksa dalam operasi ini dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain katanya, JIM juga akan memastikan sebaik sahaja pintu sempadan dibuka semula pada 1 April nanti, hanya pelancong atau pelawat tulen yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan sahaja dibenarkan untuk memasuki negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI