fbpx

Jadikan bakat sebagai sumber pendapatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR, WARTAWAN EKSEKUTIF

PENINGKATAN kos sara hidup yang begitu ketara kebelakangan ini menyebabkan ramai mengeluh. Begitu ramai yang terkesan de­ngan isu berkenaan lebih-lebih lagi golongan B40.

Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan gaji minimum RM1,500 bermula Mei ini seakan-akan menjadi ta­lian hayat bagi golongan berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, persoalan yang timbul adakah de­ngan pelaksanaan gaji minimum itu harga barang tidak akan naik lagi atau seperti dijangka ia akan me­ningkat mendadak.

Bagi mendepani permasalahan itu, sudah tiba masanya bagi orang ramai mencari cara untuk meningkatkan pendapatan.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik, Dasar dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd. Shukri Shuib berkata, konsep kerja hakiki dan penggemblengan bakat individu dilihat dua perkara yang perlu diselarikan.

Menurut beliau, orang ramai perlu menjadikan bakat atau kemahiran yang ada sebagai sumber perolehan pendapatan tambahan baharu dalam memenuhi peningkatan kos sara hidup individu dan isi rumah.

“Dengan kehadiran dunia digital dan data, maka pekerjaan yang menggunakan instrumen ini juga makin meluas. Aspek memperkayakan dan mengembangkan bakat diri sebagai pekerjaan sampingan selepas waktu pejabat boleh menjadi satu mekanisme baru ekonomi Malaysia,” katanya kepada Kos­mo! baru-baru ini.

Mohd. Shukri memberi­ta­hu, kerajaan perlu memainkan pe­ranan membantu rakyat mengembangkan bakat dimiliki antaranya kelas latihan berasaskan kemahiran yang beroperasi selepas waktu pejabat.

Katanya, ramai dalam kala­ngan rakyat yang secara jelas minat untuk menjadi usahawan dan ia dapat dilihat menerusi kursus-kursus keusahawanan yang dianjurkan tokoh-tokoh berjaya.

“Bakat dan minat seperti memasak dan berniaga boleh menjadikan individu berjaya, cuma mereka perlu dibimbing dengan berkesan. Akhirnya, mereka menjadi majikan kepada individu lain,” katanya.

Senada dengan Mohd. Shukri ialah Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid yang berkata, menjalani kursus kemahiran untuk membuka perniagaan antara cara untuk membantu orang ramai mengharungi isu kos sara hidup.

“Mengambil upah untuk mendapatkan pendapatan tambahan tiada salahnya. Sebaik-baiknya jalan yang dipilih adalah halal dan tidak menyalahi undang-undang.

“Berjimat-cermat, tidak kira kaya atau miskin, kita sememang­nya perlu berjimat dan tidak membazir,” katanya.

Selain itu, menurut beliau, melanjutkan pelajaran ke pe­ringkat lebih tinggi agar mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik turut boleh dilakukan bagi mengatasi isu kenaikan sara hidup.

“Pada hakikatnya, tidak ada satu formula yang sesuai. Pa­ling penting, ketua keluarga perlu bijak dalam mengurus masa ter­utama bagi mereka yang sudah berkeluarga.

“Ketua keluarga perlu menghabiskan masa bersama anak-anak dan isteri supaya kehidupan yang dijalani adalah kehidupan berkualiti dan menggalakkan kesejahteraan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI