PALERMO – Pengendali Macedonia Utara, Blagoja Milevski mengakui pasukannya beraksi dengan ‘gaya permainan Itali’ untuk berjaya mencipta kejutan sensasi menyingkirkan Itali daripada layak ke Piala Dunia Qatar 2022.
Kejayaan dramatik itu hadir menerusi rembatan jarak jauh penyerang mereka, Aleksandar Trajkovski pada minit ke-92 untuk menewaskan Itali 1-0 di Stadio Renzo Barbera awal pagi semalam.
Menariknya, ia hanyalah percubaan tepat kedua berjaya dilakukan Macedonia Utara sepanjang aksi playoff itu berbanding keseluruhan 32 rembatan daripada para pemain Itali yang turut memegang 66 peratus penguasaan permainan.
“Satu gol daripada dua percubaan membuktikan kami berjaya menewaskan Itali dengan gaya permainan mereka sendiri. Saya sangat gembira dan berbangga dengan semua pemain.
“Kami tiada pilihan selain bermain dengan cara sebegini kerana kami sedar tahap kekuatan kami berbanding Itali yang merupakan juara Eropah dan memiliki ramai pemain hebat.
“Pemain nampak sangat menikmati perlawanan ini. Semangat dan keyakinan menjadi bekalan terbaik bertemu Portugal,” kata Milevski.
Pasukan ranking ke-67 dunia itu akan mencipta sejarah baharu layak ke Piala Dunia buat kali pertama sekiranya berjaya menumbangkan satu lagi bekas juara Eropah, Portugal di Stadium Dragao pada 29 Mac ini.
Portugal turut mara ke final playoff bagi laluan C Zon Eropah selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Turki awal pagi semalam. – AGENSI