BERBEZA. Menyaksikan episod baharu skuad Harimau Malaya di bawah kendalian jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihannya mengamit keterujaan.
Penulis percaya peminat bola sepak mungkin berpendapat sama. Harimau Malaya sudah berubah, tidak banyak, namun berbeza berbanding skuad negara pada Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura tahun lalu.
Pada masa sama, mungkin ada dalam kalangan peminat juga berasakan tiada perubahan ke atas Harimau Malaya disebabkan masih terluka susulan prestasi sebelumnya.
Bagaimanapun, menyaksikan perlawanan sulung Harimau Malaya yang dibimbing bekas ketua jurulatih kebangsaan Hong Kong berusia 53 tahun itu benar-benar membuka mata terutamanya gaya permainan mahupun taktikal digunakan.
Dengan hanya beberapa hantaran pendek dari benteng pertahanan, bola ditolak ke kanan kemudian beransur-ansur dihantar ke tengah dan ke kiri sebelum Corbin Ong melorongkan bola melepasi pertahanan FIlipina kepada Akhyar Rashid.
Akhyar yang memperoleh bola sangat bijak memperdayakan pemain pertahanan ketika berada dalam kotak penalti sebelum merembat kencang bola untuk gol pembukaan seawal minit ketiga permainan.
Memang mengejutkan apabila Harimau Malaya meraih gol seawal itu, bagaikan tidak percaya tetapi hakikatnya skuad negara tampil berbeza, bertenaga, berkeyakinan dan memiliki visi lebih baik kali ini.
Meskipun Pan-gon dan barisan kejurulatihan hanya mempunyai masa lebih seminggu bersama pemain selepas dikumpulkan bersama dalam sesi latihan pusat, namun skuad Harimau Malaya berjaya menampilkan aksi yang wajar dipuji.
Selain Akhyar, Syafiq Ahmad dan Arif Aiman berjaya mengucar-ngacirkan benteng pertahanan Filipina, larian-larian pantas oleh Dion Cools di bahagian sayap kanan memberi dimensi baharu dalam corak serangan pasukan negara.
Lebih menarik, pada kali ini, para pemain negara sentiasa melakukan tekanan kepada pemain lawan sehingga skuad The Azkals buntu dan mati kutu sedangkan mereka berada di ranking lebih tinggi berbanding Malaysia iaitu No.126 dunia.
Malaysia yang berada di ranking ke-154 pula dilihat tidak lagi terkial-kial dengan posisi masing-masing terutamanya ketika ketiadaan bola, sebaliknya melakukan tekanan bahkan menutup segala ruang untuk menyekat Filipina mengatur serangan.
Situasi itu menyaksikan permainan pasukan Filipina benar-benar teruk apabila sekali lagi Akhyar menjadi duri dalam daging dengan meledak gol kedua.
Apapun, Pan-gon yang menggantikan posisi ditinggalkan oleh Tan Cheng Hoe selepas meletakkan jawatan pada awal Januari lalu berjaya mengemudi Harimau Malaya menamatkan badi 15 tahun tanpa kemenangan ke atas skuad The Azkals sejak 2007.
Pada penulis, skuad Harimau Malaya sudah berada di landasan, cuma perlu kekalkan momentum dan ketekalan untuk menjadi gah di peringkat antarabangsa pada masa depan. -KOSMO! ONLINE