KOTA BHARU – Suami kepada arwah Nor Haliza Abdul Yazaib, 25, yang maut selepas terlibat dalam kemalangan pada 18 Februari lalu terpaksa berhenti kerja sebagai tukang rumah demi menjaga tiga anaknya.
Mohd. Khairi Hasbullah, 31, dari Kampung Chekok, Pengkalan Chepa di sini berkata, dia kini perlu mengurus tiga anaknya termasuk Nurul Iman Maisara, 6, yang terpaksa menjalani pembedahan membuang tempurung kepala selain patah kaki kanan akibat kemalangan.
Dua lagi anak Mohd. Khairi ialah Puteri Irdina, 8, dan Mohd. Haziq yang berusia tiga tahun.
Katanya, Nurul Iman Maisara baru dua minggu keluar daripada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sejak dimasukkan ke hospital berkenaan selepas terlibat dalam kemalangan ketika membonceng motosikal bersama ibunya di Pasir Mas.
“Saya kini menumpang di rumah sewa bersama keluarga selepas arwah isteri saya meninggal dunia.
“Saya agak buntu memikir untuk mencari wang bagi menyara kos rawatan Nurul Iman Maisara selain perbelanjaan keperluan lampin pakai buang.
“Saya memerlukan hampir RM1,000 sebulan untuk belanja rawatan Nurul Iman Maisara kerana tempurung kepalanya belum pulih sepenuhnya dan dia juga tidak boleh berjalan lagi,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Chekok, Pengkalan Chepa di sini, semalam.
Terdahulu, Mohd.Khairi menerima kunjungan wakil Rumah Yayasan Amal Mahabbah menyampaikan sumbangan susu dan barangan keperluan untuk anak-anaknya.
Tambahnya lagi, anak sulungnya sepatutnya sudah memulakan persekolahan, namun persiapan pakaian dan peralatan belum dibuat kerana kekangan kewangan.
Katanya, setakat ini, dia berjimat dengan wang yang disumbangkan oleh orang ramai sebelum ini untuk perbelanjaan anak.
“Dalam masa terdekat ini, saya tidak boleh bekerja lagi kerana mengurus anak-anak. Saya terpaksa menumpang bapa saya yang bekerja sendiri dan ibu pula bekerja di kedai sate.
Mohd. Khairi berkata, dia masih lagi bersedih kerana anak-anaknya masih bertanya ibu mereka walaupun diberitahu ibunya sudah meninggal dunia.
Menurutnya, setakat ini dia belum memohon sebarang bantuan daripada kerajaan untuk meringankan beban keluarganya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Mohd. Khairi Hasbullah menerusi talian 0128917856 atau menggunakan nombor akaun Cimb 7639163646.
Kosmo! pada 20 Februari lalu melaporkan seorang ibu yang sedang sarat mengandung sembilan bulan maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lagi motosikal dalam kemalangan di Kampung Banggol Stol Repek pada 18 Februari lalu. -KOSMO! ONLINE