JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah bahawa pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (Exco) menunjukkan komitmen Johor dalam melibatkan golongan muda dalam pentadbiran negeri.
Baginda bertitah, sudah tiba masanya golongan belia bangkit dan memainkan peranan yang penting dalam membangunkan Johor.
“Tahniah saya ucapkan kepada para Exco yang telah dilantik pada hari ini. Saya yakin barisan Exco negeri yang baharu ini berpelajaran dan berkelayakan untuk mentadbir kerajaan negeri dengan dedikasi dan integriti.
“Barisan Exco ini juga mempunyai perwakilan dari golongan belia yang menunjukkan kerajaan negeri ingin melibatkan golongan muda untuk menggalakkan pentadbiran negeri yang lebih dinamik,” titahnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Terdahulu, seramai 10 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri di hadapan Sultan Ibrahim di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene. -KOSMO! ONLINE