KUALA LUMPUR – Bintang muda olahraga negara, Muhammad Azeem Fahmi berada dalam kelas tersendiri apabila memperbaharui rekod peribadinya untuk acara 100 meter (m) pada Kejohanan Kuala Lumpur (KL) Allcomers hari ini.
Azeem, 18, jauh meninggalkan pencabar-pencabar lain dengan catatan masa 10.37 saat (s) untuk mengungguli aksi saringan kelima kejohanan itu yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.
Ia sekali gus memperbaharui rekod peribadi 100m pelari dari Perak itu yang sebelum ini mencatat masa 10.53s sewaktu menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia pada 5 Mac lalu.
Catatan tersebut menjadi tonik tambahan terbaik buat Azeem yang disenaraikan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk beraksi pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam dari 12 hingga 23 Mei nanti.
ia juga dilihat sebagai persediaan terbaik buat pelari yang diberi gelaran ‘Usain Bolt Malaysia’ itu yang layak beraksi pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia pada Ogos depan. – KOSMO! ONLINE