fbpx

Wajarkah Sapura Energy diselamatkan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kemelut yang dihadapi Sapura Energy bakal memberi impak besar kepada banyak pihak termasuk pelabur, vendor dan juga kakitangannya yang berjumlah kira-kira 10,000 orang. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Petronas harus menyelamatkan Sapura Energy Berhad (Sapura) hanya selepas usaha wajar (due diligence) dilakukan dan pengambilalihan tersebut didapati bakal memberikan nilai tambah positif bersih kepada Petronas, menurut Naib Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff.

Jika ia tidak dilakukan, beliau berkata, Petronas tidak wajar ­menyelamatkan Sapura kerana pengurusan Petronas mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap syarikat untuk bertindak demi kepentingan syarikat dan bertindak dengan bona fide (hati suci).

“Ini juga merupakan amalan tadbir urus yang baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ahmed Razman mengulas pandangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mencadangkan Petronas mengambil alih Sapura bagi menyelamatkan pelaburan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dalam syarikat tersebut yang dianggarkan sekitar RM4 bilion hingga RM5 bilion.

Berhubung pegangan PNB dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam Sapura, Ahmed Razman menegaskan adalah sesuatu yang normal bagi pelabur institusi berhenti menjadi pemegang saham besar dalam sesebuah syarikat.

Beliau mengambil contoh tindakan KWSP terhadap Serba Dinamik pada Jun lalu, apabila kumpulan tersebut mengurangkan pegangan saham daripada 10 peratus kepada kurang lima pe­ratus disebabkan isu ketidakaturan kewangan yang menjejaskan syarikat.

Tambahnya, impak negatif situasi semasa Sapura kepada PNB dan KWSP juga adalah tidak ­ketara.

“Pelaburan PNB dalam Sapura mewakili kurang daripada satu peratus daripada asetnya di bawah pengurusan tetapi pada empat sen sesaham nilai semasa, 40 peratus pegangan PNB kini telah berkurangan kepada RM223.71 juta.

“Adalah penting untuk rakyat ambil perhatian bahawa PNB membayar dividen kepada pemegang unit berdasarkan dividen dan keuntungan modal yang di­realisasikan dalam pelaburannya.

“Bagi KWSP pula, 2.9 peratus pegangannya kini bernilai RM18.5 juta sahaja, sangat kecil berban­ding RM1 trilion aset di bawah pengurusannya,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global, Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid, urusan ‘hidup mati’ Sapura seharusnya diserahkan kepada pasaran dan tidak memerlukan campur tangan kerajaan.

“Kita tidak boleh berterusan menyelamatkan syarikat-syarikat atas alasan cuba untuk menyelamatkan pelaburan berkepentingan oleh institusi pelaburan kerajaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI