fbpx

Swiatek ganti kedudukan Barty

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SWIATEK melonjak ke ranking kedua dunia selepas muncul juara Indian Wells minggu lalu dan bakal dinobatkan pemain No.1 dunia selepas persaraan Barty. – AFP

MIAMI – Pemain tenis sensasi Poland, Iga Swiatek mengakui terkejut apabila bakal mewarisi ‘takhta’ atlet wanita No.1 dunia susulan keputusan mengejut Ashleigh Barty untuk bersara sepenuhnya daripada pentas antarabangsa kelmarin.

Sebagai rekod, Swiatek yang ketika ini menduduki ranking No.2 dunia berjaya mempamerkan rentak konsisten sejak awal musim dengan menjuarai dua kejohanan siri Jejalah WTA, Terbuka Doha dan Terbuka Indian Wells baru-baru ini.

Kata Swiatek, sewaktu mendengar berita tersebut, dirinya seperti tidak percaya sehingga melinangkan air mata untuk tempoh yang lama tetapi bukan kerana menjadi pemain No.1 dunia, sebaliknya kecewa dengan keputusan persaraan Barty.

“Secara jujur, saya tidak berhenti untuk menangis ketika dengar Barty sudah bersara memandangkan usianya masih lagi muda dan lebih penting, dia salah seorang pemain yang saya minat dan contohi kerana mentaliti positif di dalam atau di luar gelanggang.

“Malah, saya lebih berminat untuk merampas kedudukan No.1 dunia ketika bersaing dengannya di atas gelanggang tetapi apa boleh buat, dia sudah tekad de­ngan keputusannya untuk bersara dan kita wajar hormat keputusan itu,” katanya.

Mengulas mengenai kedudukannya yang akan bergelar pemain No.1 dunia selepas ini, Swiatek mengakui status tersebut bakal memberi tekanan tambahan dalam kariernya terutama selepas mempamerkan rentak konsisten sebelum ini.

“Status No.1 dunia menjadikan saya agak takut dan tertekan tetapi barisan kejurulatihan serta keluarga mahu saya anggap situasi tersebut sebagai motivasi serta pemangkin semangat untuk terus bekerja keras selepas ini,” kata pemain berusia 21 tahun itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI