SHAH ALAM – Kualiti dan prestasi perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia masih konsisten walaupun gagal mempertahankan gelaran pada kejohanan badminton Seluruh England (All England).
Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek mengakui permainan Zii Jia berada ditahap memberangsangkan dan tidak jauh beza dengan sebelum ini.
“Kalau tengok di All England, dia main bagus manakala di (Terbuka) Jerman saya tidak berapa tengok namun nampak prestasi dia konsisten.
“Di kalah pada semi final (All England), (prestasi) dia tidak jauh beza dengan prestasi sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berjiwa juara, memori 92 di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.
Pada majlis tersebut, beliau turut dilantik sebagai Duta DOESATA by Madu Tujuh selain berkolabrasi dalam pembangunan modul asas kejurulatihan badminton bersama UiTM.
Sebelum ini, Zii Jia tersingkir di pusingan separuh akhir All England selepas tewas kepada pemain India, Lakshya Sen menerusi perlawanan tiga set 13-21, 21-12, 19-21 dalam tempoh 1 jam 15 minit.
Rashid turut menambah, prestasi Zii Jia mungkin berpunca dengan tekanan yang berbeza dilaluinya diluar dan di dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Jelasnya, sebagai pemain yang telah bergerak profesional maka Zii Jia perlu lebih berdikari dan memikirkan dalam meningkatkan lagi permainannya. -KOSMO! ONLINE