KUALA NERUS – Perak terus dirundung malang apabila dibelasah 0-3 Terengganu FC II (TFC II) pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.
Skuad Bos Gaurus yang hanya mampu menurunkan 15 pemain termasuk dua penjaga gol di bangku simpanan gagal menahan asakan bertali arus TFC II yang baru dapat memulakan aksi musim ini.
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk mencemaskan pelawat menerusi percubaan berturut-turut Engku Nur Shakir Engku Yaacob dan Jordan Mintah pada minit ke-11.
Perak cuba mengimbangi permainan pada minit ke-15 namun rembatan di kawasan berbahaya oleh Royizzat Daud berjaya diselamatkan penjaga gol TFC II, Syed Muhd. Nasrulhaq Syed Bidin.
Petrus Shitembi kemudian memecahkan kebuntuan apabila melakukan sepakan dari luar kotak penalti berpunca hantaran kurang cermat pemain Perak pada minit ke-22.
Tuan rumah nyaris memperoleh gol kedua pada minit ke-32 malangnya sepakan percuma Mintah dan tindakan susulan daripada Nur Azfar Fikri Azhar berjaya ditepis penjaga gol lawan. – KOSMO! ONLINE.