TUMPAT – “Pentadbir sekolah sering marah kami kerana tidak cekap mengendalikan aplikasi Google Meet dan menyediakan laporan secara dalam talian, keadaan ini menyebabkan kami sangat tertekan.”
Itu antara luahan seorang guru di sini yang mendedahkan ramai rakan sekerjanya tertekan dengan arahan pentadbir sekolah yang meminta mereka segera menyesuaikan diri dengan penggunaan teknologi digital.
Guru itu yang hanya mahu dikenali sebagai Hani, 49, berkata, kebanyakan guru di sekolah tersebut berusia antara 40 hingga 50 tahun dan mereka tidak cekap menggunakan komputer atau gajet lain.
“Keadaan guru-guru semakin tertekan ketika menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebelum ini kerana kami tidak dapat menyesuaikan diri dengan cara mengajar seperti ini,” katanya.
Menurut Hani, guru-guru juga diminta mengisi buku persediaan mengajar secara dalam talian, namun kebanyakannya tidak dapat menyiapkan tugasan itu.
Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa mengupah kerani sekolah atau guru-guru baharu untuk membuat tugasan menyediakan laporan menerusi buku persediaan mengajar.
“Upahnya kadangkala hanya belanja makan. Saya sendiri masih belajar untuk mengadaptasi teknologi baharu ini.
“Bagaimanapun, ada dalam kalangan guru-guru senior tidak mahu ambil tahu dan keadaan itu menyebabkan mereka mahu pencen awal,” katanya.