PENOLONG jurulatih skuad terjun negara, Datuk Leong Mun Yee melaungkan keyakinan anak-anak buahnya mampu menyapu bersih lapan pingat emas pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam Mei depan.
Berdasarkan prestasi semasa yang dipamerkan penerjun-penerjun negara termasuk pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Datuk Pandelela Rinong, Malaysia tidak ada masalah untuk merealisasikan sasaran itu.
Kata Mun Yee, memandangkan temasya Sukan SEA kali ini mempertandingkan lapan acara dalam sukan terjun, justeru beliau mahu melihat atlet-atlet negara membawa pulang kelapan-lapan pingat emas tersebut.
“Di Vietnam nanti, mereka mempertandingkan lapan acara. Bagi saya, acara 10 meter platform seirama wanita tidak ada masalah buat kita, jadi kita mahu menang emas dalam semua acara.
“Memang itulah sasaran kita, memandangkan lapan acara akan dipertandingkan pada Sukan SEA nanti. Oleh itu, kita mahu sapu bersih pingat emas dalam acara terjun nanti,” katanya yang pernah memenangi 17 pingat emas dalam temasya Sukan SEA.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, atlet-atlet negara akan menyertai satu kejohanan di Ipoh, Perak bulan depan sebagai aksi pemanas badan sebelum berangkat ke Hanoi Mei nanti.
Sementara itu, Pandelela mengakui, keputusan untuk menjalani latihan di dalam negara adalah pilihan terbaik ketika ini bagi mengelakkan atlet daripada menjalani kuarantin yang boleh menjejaskan prestasi terjunan.
“Kami semua akan ke Ipoh bulan depan bagi menyertai satu kejohanan yang boleh dianggap sebagai pemanas badan. Buat masa sekarang, lebih baik bertanding dalam negara sahaja kerana tempoh kuarantin boleh menjejaskan aksi kami jika ke luar negara,” ujar penerjun kelahiran Sarawak itu.
Sebagai rekod, skuad terjun negara menampilkan aksi cemerlang pada Sukan SEA Filipina 2019 apabila membawa pulang 12 pingat emas, empat perak dan satu gangsa.