KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen yang tidak menyokong usul kerajaan untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma bagi tempoh lima tahun lagi di Dewan Rakyat baru-baru ini disifatkan sebagai tidak sayangkan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, peristiwa itu mungkin hikmah oleh Allah S.W.T untuk menunjukkan kepada rakyat tentang pemikiran sebenar Ahli Parlimen pembangkang dan beberapa Ahli Parlimen kerajaan yang tidak mengutamakan kepentingan negara.
“Saya agak terkilan dengan beberapa Ahli Parlimen terutama dari kerajaan. Saya difahamkan (mereka) ada dalam Dewan Rakyat ketika (undi) belah bahagi, tetapi ketika mahu mengundi keluar dan saya boleh namakan siapa mereka. Itu tidak adil.
“Punca mereka keluar (Dewan Rakyat) sebab tidak suka lihat muka saya,” katanya dalam nada berseloroh ketika ditanya pemberita berhubung perkara itu selepas menghadiri Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-215 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.
Subseksyen itu bagi membolehkan polis terus menggunakan kuasa khas di bawah subseksyen itu untuk melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan di bawah Sosma sehingga 28 hari tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret.
Hamzah berkata, alasan Ahli Parlimen pembangkang mereka tidak menyokong usul tersebut kerana ia tidak dirundingi dengan mereka terlebih dahulu adalah alasan politik.
Menurut beliau, Memorandum Persefahaman (MoU) kerajaan tandatangani bersama pembangkang adalah tentang rundingan penggubalan undang-undang baharu sedangkan usul itu berkenaan undang-undang sedia ada.
“Ini usul untuk sambung sahaja. Jadi sepatutnya semua orang kena paham ini untuk kepentingan negara demi sayangkan negara. Tidak boleh bawa isu ini untuk tunjukkan kekuatan pembangkang.
“Persefahaman dalam MoU itu kalau mahu gubal undang-undang baharu kita duduk bincang apa pandangan, apa yang patut ada dan patut tidak ada,” katanya.- KOSMO! ONLINE