SHAH ALAM – Restoran Westplate Factory di Seksyen 23 di sini menghidangkan makanan Timur dan Barat untuk juadah berbuka puasa pada harga mampu milik di bawah RM60 seorang dewasa.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AMK Group, Mohd. Assraf Moidin Koty berkata, bertemakan ‘Masakan Barat dan Tradisional Yang Terbaik Untuk Anda Sekeluarga’ yang bermula 5 April ini akan menawarkan kira-kira 30 menu lengkap daripada sajian utama hingga kepada pemanis mulut serta air minuman.
“Hidangan popular kami adalah chicken chop, lamb chop, beef steak, spaghetti carbonara, aglio olio spaghetti, kentang goreng dan sup cendawan selain masak lemak cili api, ayam masak merah, ayam masak rendang, ayam goreng dan daging dendeng, “ katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran dan prebiu bufet Ramadan di restoran tersebut baru-baru ini.
Mohd. Assraf menjelaskan, pencuci mulut pula terdiri daripada kuih lompang, kuih lapis, talam jagung, talam gula Melaka, kurma, bubur kacang hijau, bubur kacang hitam, kek coklat dan butter marble.
Mengulas lanjut harga untuk promosi awal bermula 1 Mac hingga 1 April adalah RM49.90 untuk dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak, manakala bermula pada 2 April, harga tawaran adalah RM59 untuk dewasa dan RM 29.90 untuk kanak-kanak berumur hingga lima hingga 10 tahun. -KOSMO! ONLINE