KETUA jurulatih skuad futsal negara, Chiew Chun Yong mahu pasukannya berwaspada dengan ancaman yang boleh diberikan oleh pasukan Thailand dan Indonesia menjelang aksi Kejohanan Futsal AFF yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada minggu depan.
Sebagai rekod, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah yang juga juara bertahan, Thailand, Indonesia, Kemboja dan Brunei dengan tiga pasukan terbaik kejohanan bakal mara ke Piala Asia Futsal 2022 di Kuwait, September depan.
Kata Chun Yong, amaran awal kepada barisan pemain agar bersedia dari segi mental dan fizikal sekiranya berhasrat untuk meloloskan diri ke peringkat separuh akhir nanti.
“Di atas kertas, kita dapat lihat pasukan seperti Thailand dan Indonesia memiliki kelebihan kerana barisan pemain mereka sudah melakukan persediaan untuk tempoh yang lama.
“Malah, jika dibandingkan dengan liga futsal anjuran negara mereka juga berlangsung untuk tempoh lama hingga enam bulan berbanding MPFL (Liga Futsal Premier) yang hanya berjalan selama dua hingga tiga bulan.
“Saya akan mengingatkan agar pemain bersedia sepenuhnya terutama dari segi mental dan fizikal agar boleh bersaing sama hebat dengan pasukan lawan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Daripada 20 pemain yang dipanggil menjalani latihan pusat sejak minggu lalu, hanya 16 pemain akan dibawa ke Bangkok pada Sabtu ini bagi menghadapi beberapa perlawanan persahabatan sebelum kejohanan bermula pada 2 April.
Mengulas lanjut, Chun Yong juga mahu menjadikan kejohanan berprestij Asia Tenggara ini dijadikan sebagai medan pemanas badan buat pasukan sebelum mengharungi temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam pada Mei depan.
“Sudah tentu kejohanan ini adalah platform terbaik untuk pasukan membuktikan kerana kita akan mengharungi temasya Sukan SEA pula pada Mei nanti,” katanya.