PETALING JAYA – Seorang wanita didakwa mengamuk di salah sebuah pasar raya terkemuka di Kuala Lumpur pagi tadi kerana ditahan akibat tidak memakai pelitup muka.
Satu klip video yang kini tular di media sosial menyaksikan seorang wanita sedang memarahi anggota keselamatan pasar raya tersebut setelah dia ditahan dari memasuki premis tersebut.
Menurut kenyataan pada video tersebut, wanita itu enggan mengaku kesalahannya dan tetap berkeras ingin memasuki premis terbabit sehingga orang ramai turut terkejut dengan kekecohan yang berlaku.
“Saya tanya sekarang ni di negara mana yang kamu duduk, sekali lagi saya tanya kamu ini negara yang kamu duduk, ” soal wanita tersebut.
Rata-rata orang ramai yang menyaksikan klip tersebut turut mencemuh wanita terbabit yang dianggap seperti menegakkan benang yang basah.
“Rasanya masa PM umum hari tu kita ni masih diwajibkan untuk pakai mask, tak tahu pula dia ni dengar pengumuman PM yang mana.
” Susah sangat bagi aja lah ‘mask’ satu dekat dia kalau tak mahu juga bagi je kain kapan, ” jelas Umi Farhana.
“Ada juga yang jenis macam ni, mungkin dah terasa malu dia terus tengking pengawal tu untuk nampakkan dia betul.
” Menyampah pula dengar dia ‘speaking’ konon hebat sangat. Kak kalau kita yang salah minta maaf je lah, senang, ” ujar Arifuramlee. – KOSMO! ONLINE.