NAMA Fadlan Hazim mungkin tidak begitu gah seperti beberapa teman seperjuangan lain yang sama-sama memulakan kerjaya seni sekitar sedekad lalu.
Namun dari segi profil dan kredibiliti, aktor berusia 30 tahun itu ada pesona dan bukan sahaja menyerlah dalam kaca televisyen, malah turut menonjol di layar perak menerusi beberapa filem aksi.
Raut wajah serius, personaliti selamba, tangkas dalam aksi lasak ditambah dengan susuk tubuh kekar membuatkan dirinya cukup tepat sebagai pembawa watak antagonis.
Tidak hairan, pelakon tinggi lampai yang asalnya aktif di pentas peragaan itu menjadi pilihan produser mewarnai naskah terbitan mereka.
Hero selepas sedekad
Begitupun, permulaan 2022 menyaksikan peralihan buat Fadlan apabila penampilan sulung sebagai hero dalam drama bersiri Sayang Tak Dikenang menyerlahkan sisi romantis lelaki itu.
Meskipun menggalas karakter suami curang, watak itu jauh berbeza dengan peranan lasak yang dibawakan sepanjang tempoh enam tahun kebelakangan ini.
Katanya, transisi tersebut sedikit sebanyak membuatkannya berasa agak janggal pada awal penggambaran, namun berjaya mencari rentak selepas beberapa hari di set lokasi.
Tambah pemilik nama sebenar Fadlan Hazim Anuwar itu lagi, peluang yang diberikan dianggap sebagai cabaran untuk membuktikan kemampuan selepas bertahun sinonim dengan watak bengis.
“Saya terkejut apabila suatu hari, pengarah Feroz Kader membuka mulut mengajak saya membintangi sebuah drama bersiri yang secara asas berkisar cinta tiga segi dan dendam.
“Sangkaan saya, dia bergurau apabila terus menawarkan watak hero, bukannya karakter jahat memandangkan ketika itu saya masih dalam set sebuah naskhah yang sarat aksi lasak bawah arahannya.
“Apabila dia bercerita sedikit tentang plot drama tersebut, baru saya tahu dia serius. Malah dia percaya saya mampu menonjolkan dua perwatakan berbeza seorang lelaki yang menjadi nadi untuk karya berkenaan.
“Mulanya ragu sebab sepanjang enam tahun kebelakangan ini saya banyak bawa watak antagonis, jadi apabila diberi mandat menjadi pelakon utama tentu saya terkejut.
“Saya anggap peluang ini juga sebagai penghormatan dan kepercayaan ramai selepas sedekad bergelar pelakon,” katanya kepada Hib Glam.
Rasa janggal
Menerusi drama tersebut yang disiarkan di slot Akasia TV3 bermula 4 Mac lalu, Fadlan bergandingan dengan Ruhainies sebagai isterinya, Ayu dan bintang muda yang juga ‘instafamous’, Ezzanie Jasny selaku kekasihnya, Hattin.
Selain Fadlan, Ruhainies dan Ezzanie, naskhah tersebut turut dibintangi Mak Engku Faridah, Mahmud Ali Bashah, Fazlina Ahmad Daud, Ainina Ahmad, Jasmine Ashraff, Alif Muhaimin, Andy Teh, Fad Anuar, Syafnida Shuhaimi dan Riz Amin.
Drama Sayang Tak Dikenang berkisar mengenai Ayu Izhani dan Hattin Isabella, dua sepupu bersahabat baik yang jatuh cinta dengan lelaki sama tetapi nama berbeza.
Diterbitkan sebanyak 28 episod bawah FJ Pictures, drama berkenaan diadaptasi daripada novel karya Wazrul Shah.
Membawakan watak suami curang yang menggunakan dua identiti, Raqib dan Tafzani, lakonan Fadlan mengundang perhatian ‘kaki’ drama yang geram melihat layanannya terhadap Ayu.
Menurut Fadlan, sejujurnya bukan mudah membawakan dua karakter yang sentiasa berubah-ubah mengikut situasi sama ada ketika bersama Ayu mahupun Hattin.
Malah akuinya, walaupun agak kekok ketika babak awal menonjolkan sisi mesra disebabkan sudah biasa menunjukkan personaliti lasak dalam banyak karya lain sebelum ini, keserasian bersama kedua-dua aktres itu membuatkan dia selesa beraksi.
Tak kisah dibenci
Pada masa sama, Fadlan menegaskan bahawa dirinya tidak kisah andai impak lelaki curang yang diketengahkan menerusi drama tersebut boleh mengakibatkannya dibenci penonton.
“Bayangkan, sejak 2016 lagi saya tinggalkan peranan sebagai lelaki romantik sebab banyak terbabit dengan drama aksi. Bukan tak mahu, cuma waktu itu mungkin orang nampak saya lebih sesuai dengan karakter lasak.
“Keserasian dengan Ruhainies juga antara perkara yang membantu saya menyerlahkan semula kebolehan terpendam. Dahulu kami pernah bekerjasama tetapi bukan sebagai pelakon utama.
“Ezzanie pun sangat berbakat. Kiranya kami bertiga dapat hayati setiap watak dan perwatakan yang diamanahkan menerusi hasil kerjasama dan perbincangan.
“Kalau orang benci Raqib dan Tafzani disebabkan kecurangannya serta layanan buruk terhadap isteri, bermakna saya sudah berjaya seret emosi penonton,” tambah aktor itu yang turut memasang impian bergelar pengacara.
2022 tahun gandakan usaha
Mendedahkan pengalaman di lokasi penggambaran, katanya, setiap naskhah meninggalkan pengalaman berbeza, namun memberikan ilmu yang berharga.
“Kalau dengan Ruhainies, saya memang sudah biasa dan pernah berlakon pun dengannya. Kami pun boleh bergurau-senda di set, namun serius sebaik penggambaran bermula.
“Saya sedikit risau dengan Ezzanie kerana takut dia fikir saya seorang yang berlagak. Tetapi sebenarnya telahan saya salah sebab dia mudah mesra dan cukup menyenangkan,” tambah pelakon filem Sangkar itu.
Bercerita mengenai sasaran masa depan, pelakon yang popular menerusi drama Papa Ricky itu ingin merancakkan kemaraan tahun ini.
“Ramai terkesan dengan impak Covid-19 yang melanda seluruh masyarakat dunia lebih dua tahun lalu. Namun kini kita semua sudah beralih kepada pemulihan dan memperkukuhkan semula ekonomi.
“Jadi seperti orang lain, saya juga tidak patah semangat untuk bangkit memperjuangkan bidang seni yang sudah menjadi sebahagian daripada diri.
“Nak kata berpuas hati dengan pencapaian, rasanya masih banyak yang perlu saya pelajari. Cuma saya mahu menjadi lebih bagus selain bersyukur apabila mampu bertahan lebih 10 tahun dalam industri,” ujarnya seraya menutup bicara.