KUALA LUMPUR – Skuad hoki Universiti Teknologi Mara (UiTM HA) berjaya mencipta kejutan apabila mengikat juara berganda musim ini, Pasukan Hoki Terengganu (THT) 1-1 pada separuh akhir pertama Piala TNB sebentar tadi.
Keputusan itu pastinya amat bermakna buat skuad bimbingan Shaiful Azli Abd. Rahman untuk layak ke pentas final menjelang aksi timbal balik dengan THT di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Isnin ini.
Lebih menarik, UiTM terlebih dahulu berjaya membuka tirai jaringan seawal minit kelapan menerusi gol padang menarik daripada Muhammad Faris Ros Fadillah.
Hasrat UiTM untuk melakar kemenangan tidak kesampaian apabila THT kendalian Roslan Jamaluddin berjaya bangkit menyamakan kedudukan melalui gol padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-35.
Sebagai rekod, ini adalah kali kedua UiTM berjaya mengikat THT musim ini selepas terdahulu melakukannya dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) pada 24 Februari lalu.
Satu lagi aksi separuh akhir Piala TNB menyaksikan Maybank ‘sebelah kaki’ ke pentas final apabila mencatat kemenangan 2-1 ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Stadium Hoki Nasional hari ini.
Flicker kebangsaan, Muhammad Najmi Farizal Jazlan muncul wira Maybank apabila meledak dua gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-24 dan 46.
Gol tunggal TNB pula dihasilkan oleh Muhammad Amirul Hamizan Azhar juga melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-37.
Bagaimanapun, TNB masih berpeluang untuk mengubah nasib mereka pada separuh akhir kedua, Selasa ini. – KOSMO! ONLINE