KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengakui cukup puas selepas menyaksikan anak-anak buahnya merekodkan kemenangan 2-0 ke atas Filipina pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional, Singapura malam kelmarin.
Pada aksi tersebut, skuad negara berjaya mempamerkan aksi positif di awal saingan dengan dua gol menerusi Akhyar Rashid pada babak pertama dan ia sudah cukup untuk membantu pasukan menamatkan badi 15 tahun tanpa kemenangan ke atas skuad The Azkals sejak 2007.
Pan-gon berkata, apa yang disaksikan cukup positif dengan barisan pemain memberi komitmen diharapkan selepas lebih seminggu dikumpulkan bersama pada sesi latihan pusat.
“Ini adalah aksi pertama sejak mengendalikan skuad Harimau Malaya dan saya menghargai sumbangan diberikan oleh barisan pemain yang bekerja keras mengikut falsafah serta struktur bola sepak yang cuba saya terapkan.
“Sukar untuk saya katakan apa perubahan dalam corak permainan kami tetapi pemain telah buktikan bahawa mereka mampu menyesuaikan diri sejak latihan dilakukan minggu lalu,” katanya selepas tamat perlawanan kelmarin.
Mengulas lanjut, pengendali dari Korea Selatan itu turut memuji impak yang diberikan oleh Akhyar selepas pemain lincah kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menunjukkan ketajamannya di atas padang.
“Akhyar bermain dengan baik dan dia sememangnya memiliki kualiti tersendiri.
“Namun, pujian juga wajar diberikan kepada semua pemain dan saya mahu mereka percaya dengan keupayaan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, pemain pertahanan negara, Dion Cools mengakui terdapat sedikit perbezaan daripada sudut taktikal pasukan berbanding ketika dibimbing Tan Cheng Hoe tahun lalu.
“Setiap jurulatih ada falsafah bola sepak tersendiri. Ketika ini dapat dilihat corak permainan kami lebih pantas dengan melakukan tekanan ke atas lawan secepat mungkin.
“Pujian wajar diberikan kepada barisan kejurulatihan dan ini adalah permulaan yang baik untuk pasukan,” kata Cools.
Skuad negara dijadualkan bertemu dengan Singapura pada aksi persahabatan antarabangsa kedua di venue sama malam esok.