PETALING JAYA – Gara-gara makan di tempat yang agak gelap, seorang gadis hampir termakan seekor lipas berada di dalam makanan dipesan dekat sebuah warung.
Menerusi video dikongsi pengguna media sosial, At_Bie, dia dilihat sedang menjelaskan kepada tukang masak gerai terbabit bahawa terdapat seekor lipas di dalam makanan.
Selain itu, dia turut mendakwa hanya menyedari perkara itu apabila makanan yang dipesan hampir dihabiskan sepenuhnya dan menasihati pemilik kedai supaya lebih berhati-hati.
Sementara itu, rata-rata pengguna media sosial kagum dengan kesabaran yang ditunjukkan gadis tersebut dan memberi pujian kerana gadis itu tidak cepat melenting serta memarahi pemilik kedai.
“Dia tak buka pun aib kedai, kalau buka aib kedai mesti dia tunjuk pemilik dan kedai itu. Suara abang pun tak dengar sangat. Silap-silap meja sebelah pun tak dapat dengar,” ujar Ain Haura.
“Teguran yang bermaruah dia pun jaga aib tauke juga, sebab sama-sama cari rezeki di dunia, terima kasih adik,” komen Bibiana.
“Hormat cara dia tegur, siap senyum lagi,” kata Naim Isma. – KOSMO! ONLINE