PUTRAJAYA – Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) akan mencadangkan supaya akaun Tabung Haji (TH) milik suami dan bekas suami yang culas membayar nafkah kepada anak-anak dibekukan.
Ketua Pengarah JKSM, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar yang juga Ketua Hakim Syarie berkata, sehubungan itu, beliau sedang mengatur pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Amrin Awaluddin berhubung cadangan tersebut.
“Pertemuan ini adalah untuk melihat cadangan seterusnya bagaimana akaun TH suami dan bapa yang ada hutang nafkah kepada isteri dan anak-anak supaya boleh dibekukan untuk diselesaikan terlebih dahulu.
“Kita hendak memastikan suami dan bapa ini apabila pergi menunaikan ibadah haji, selesaikan dahulu hutang. Tak boleh pergi haji jika masih berhutang apatah lagi (hutang) dengan orang yang hampir dengan kita,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau memberitahu, langkah tersebut adalah untuk membantu suami yang zalim menunaikan hutang nafkah terlebih dahulu kepada anak-anak dan isteri.
Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada masa depan untuk menyiasat saham yang dimiliki suami atau bekas suami yang culas.- KOSMO! ONLINE