SEREMBAN – Polis sudah melakukan siasatan dan menyangkal dakwaan bapa kepada seorang bayi perempuan berusia setahun tiga bulan yang mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian seperti yang tular di media sosial Facebook semalam.
Kejadian menyayat hati itu berlaku ketika bayi itu, Nour Rania Asyifaa Yuseri berada di bawah jagaan pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan di sini, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, polis telah menjalankan siasatan secara menyeluruh dengan bantuan kepakaran pakar forensik.
“Polis jalankan siasatan bukan sahaja secara individu tetapi juga menggunakan bantuan forensik yang siasatannya lebih tepat.
“Siasatan kes itu sudah lengkap dan telah dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. Saya tidak boleh (komen) kata ada unsur jenayah atau tidak tunggu keputusan pihak pendakwa raya,” katanya dalam sidang akhbar sempena Sambutan Hari Polis Ke-215 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini hari ini.
Nanda berkata, sehingga kini polis tidak menerima sebarang aduan atau laporan daripada bapa bayi itu dan hanya maklum selepas membaca hantaran yang tular di media sosial.-KOSMO! ONLINE