PETALING JAYA – Niat ibu bapa menghantar anak ke prasekolah semestinya kerana menginginkan yang terbaik bagi pendidikan serta masa depan anak masing-masing.
Sudah menjadi lumrah bagi kanak-kanak menghadapi kesukaran untuk beralih dari keselesaan rumah ke alam baharu persekolahan yang mempunyai kelebihan serta kelemahan tersendiri.
Menerusi hantaran di media sosial, seorang ibu bernama Sofia Hussien berkongsi kekecewaan apabila guru di sebuah tadika menyifatkan tangisan anaknya yang berusia lima tahun sebagai gangguan dalam kelas.
“Ya Allah sedihnya, baru empat hari anak sekolah cikgu dah WhatsApp sebegini, tak normal ke kanak-kanak lima tahun menangis ke sekolah? Dikatanya tiada kesedaran nak belajar, sedih betul sampai macam ini cikgu pandang anak saya.
“Bukan saya tak ajar di rumah, anak saya tak pandai macam budak-budak lima tahun lain, tak layak ke masuk tabika?,” ujarnya.
Wanita itu turut memuat naik tangkap layar perbualan bersama guru terbabit yang membuat rungutan si anak asyik merengek dan belum bersedia untuk bersekolah.
Rata-rata komen pengguna media sosial lain menyokong wanita terbabit kerana merasakan tingkah laku anaknya itu normal bagi kanak-kanak berusia lima tahun.
“Normal budak lima tahun peringkat belajar melalui bermain, cikgu perlu pandai dekati budak-budak. Jangan salahkan budak tapi salahkan diri sendiri,” ujar Firdaus Selamat.
“Cikgu tadika, normal murid baru lima hari pergi tadika menangis. Pujuk dahulu, mengajar serta mendidik perlu keikhlasan dan kesabaran,” komen Siti Nadia. – KOSMO! ONLINE