SEBERANG PERAI – SilTerra Malaysia Sdn. Bhd. (SilTerra) optimis untuk merekrut sehingga 30 jurutera dalam bidang semikonduktor setiap setahun melalui usaha syarikat menjalin usaha sama dengan tiga buah institusi pengajian tinggi.
Tiga universiti tersebut adalah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Pengerusi Eksekutif SilTerra, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir berkata, pada peringkat awal, syarikat mengunjurkan seramai 60 pelatih akan diambil daripada ketiga-tiga buah universiti ini untuk dilatih di syarikat ini.
“Kita berharap dapat merekrut sehingga 30 orang jurutera setahun. Ini (cadangan) yang sedang kita usahakan sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) serta surat hasrat (LoI) bersama wakil daripada ketiga-tiga buah universiti itu di Hotel The Lights, Seberang Jaya di sini.
Pada majlis itu, USM serta UniMAP diwakili oleh Naib Canselor masing-masing iaitu Prof. Datuk Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Lt. Kol. Prof. Dr. Zaliman Sauli manakala UTeM pula diwakili Timbalan Naib Canselornya, Prof. Ir. Dr. Ghazali Omar.
Di bawah perjanjian itu, kesemua yang terlibat akan berusaha membangun, mempromosikan program pendidikan dan latihan dalam membangunkan bakat serta kajian dan pembangunan (R&D) bersama yang akan disesuaikan dengan keperluan ekosistem industri semi konduktor negara.
Selain pembangunan bakat melalui program penajaan pelatih, bidang kerjasama lain adalah latihan berasaskan kemahiran, seminar, bengkel dan pembangunan kurikulum secara bersama.
Mengulas lanjut, Syed Zainal Abidin menerangkan, syarikat turut menyediakan peruntukan sehingga RM1.5 juta setahun dalam usaha untuk meneroka sepenuhnya potensi serta membangunkan modal insan dalam kalangan jurutera generasi baharu ini. -KOSMO! ONLINE