PETALING JAYA – Penyanyi Elyana akhirnya tumpas dan terpaksa tunduk menerima kenyataan dirinya kini salah seorang pesakit serta mangsa terbaharu wabak maut Covid-19.
Elyana menerusi hantaran dalam WhatsApp Story malam kelmarin memaklumkan, dia disahkan positif virus berkenaan selepas sekian lama bertahan.
“Untuk pertama kalinya. Before this (sebelum ini) tolong orang Covid, now (sekarang) kita rasa sendiri.
“Alhamdulillah anak-anak negatif, maka bermulalah tujuh hari,” tulisnya ringkas sambil menyertakan foto keputusan ujian calitan yang menunjukkan dirinya positif.
Ditanya mengenai punca dia dijangkiti, Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 35, memberitahu Kosmo!, dia sendiri tidak tahu dari mana punca jangkitan tersebut datang dan menular.
“Saya sendiri pun tak tahu macam mana boleh kena. Padahal kita bukan keluar kemana-mana dan sentiasa jaga prosedur operasi standard (SOP).
“Tapi tak pelik, sekarang ni musim dan memang ramai orang kena, silih berganti. Saya sendiri memang pertama kali kena setelah dua tahun bertahan,” katanya.
Tambah pelantun lagu Kalis Rindu itu lagi menerusi hantaran terkini dalam InstaStory, anak perempuannya Cahaya Ramadhani turut disahkan positif pagi ini dan sedang menjalani kuarantin bersamanya kini.
Terdahulu, pada penghujung Ogos tahun lalu, Elyana menerusi hantaran dalam Instagram memohon orang ramai mendoakan kesihatan ibu dan adiknya yang dijangkiti Covid-19. – KOSMO! ONLINE