MENU roti jala merupakan salah satu hidangan yang agak sukar diperoleh di mana-mana restoran mahu pun gerai tepi jalan di negara ini.
Biarpun merupakan salah satu masakan Melayu yang cukup popular, ia lazimnya boleh dinikmati ketika acara kenduri-kendara dan majlis-majlis keraian.
Memiliki warna kuning dengan tekstur kenyal serta sesuai dimakan dengan kuah manis atau pun savoury, roti jala merupakan menu untuk hidangan minum petang yang sememangnya cukup digemari ramai sejak zaman berzaman.
Bagi memudahkan orang ramai mendapatkan hidangan itu tanpa mengira masa, seorang penggemar roti jala, Nor Arieni Adrina Mohd. Ritzal, 31, mengambil keputusan membuka kedai menjual makanan tersebut yang diberi nama Arieni’s Roti Jala di Ardence Labs, Eco Grandeur, Setia Alam, Selangor.
Di premis itu, roti jala boleh dinikmati sepanjang hari.
“Saya sememangnya amat menggemari roti jala yang dimakan bersama kuah kari ala India yang pekat dan penuh aroma.
“Saya menyedari biarpun roti jala merupakan makanan yang cukup popular dalam masyarakat Melayu, ia sebenarnya sukar didapati di mana-mana restoran atau pun gerai tepi jalan.
“Justeru, saya membuka kedai ini bagi membolehkan pelanggan atau penggemarnya menikmati keenakan makanan itu sepanjang hari, sama ada pada waktu tengah hari atau malam,” ujarnya.
Ibu kepada dua anak itu menambah, resipi roti jala tersebut adalah daripada neneknya yang cukup pandai memasak juadah tersebut.
“Bagi saya, roti jala nenek adalah yang terbaik pernah saya makan.
“Justeru, saya mahu pelanggan yang datang ke sini sama-sama merasai keenakannya,” kata wanita yang berasal dari Shah Alam itu.
Bagi memberikan pelanggan lebih pilihan, Nor Arieni Adrina menyediakan empat jenis hidangan sampingan yang boleh dimakan bersama roti jala tersebut.
Ia termasuk hidangan kari ayam, kari kambing, kari daging dan juga serawa durian.
Serawa durian tersebut dibuat menggunakan isi durian jenis D24 yang mempunyai tekstur kepekatan yang sempurna dengan rasa enak.
Ujarnya, dia teruja dengan sambutan yang diberikan orang ramai terhadap gerai roti jala yang diusahakannya itu.
“Ternyata, bukan saya sahaja yang gemar makan roti jala pada waktu malam.
“Rata-rata pengunjung yang datang ke sini juga memilih untuk menikmati keenakan menu tersebut pada waktu tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Arieni’s Roti Jala juga diwujudkan dengan konsep terbuka atau open air, sesuai bagi pengunjung yang mahu menikmati hidangan secara lebih santai sambil menghirup udara segar.
Satu set hidangan berisi 10 ketul roti jala bersama serawa durian dijual pada harga RM26, manakala set kari kambing pula dijual pada harga RM23.
Bagi set roti jala dengan kari daging, ia boleh diperoleh pada harga RM21 dan set kari ayam berharga RM19.
Arieni’s Roti Jala dibuka setiap hari bermula pukul 12 tengah hari sehingga 10 malam.