KUALA LUMPUR – Dikecam hebat termasuk ramai yang mempersoalkan kredibiliti stesen televisyen Islamik berikutan isu ‘Kak Long 7E’, TV Alhijrah akan tetap meneruskan program Trending yang menimbulkan kontroversi dalam salah satu episodnya.
Bagaimanapun, episod membabitkan individu berkenaan atau nama sebenarnya, Wan Nor Baizura Bharudin, 33, ditangguhkan siarannya selepas mengambil kira kebimbangan yang tercetus dalam kalangan masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris berkata, pihaknya akan lebih berhati-hati pada masa depan terutama membabitkan perkara akan dipaparkan dalam program terbitan stesen televisyen berkenaan.
“Kita sememangnya tak dapat nak gambarkan berlaku beberapa kekesalan kerana apabila isu berlaku, pihak kami seboleh-boleh dan sebenarnya, ingin mempertahankan episod tersebut.
“Hal ini kerana, kami merasakan begitu banyak unsur-undur positif dan berlaku sedikit salah faham.
“Tetapi, apa yang berlaku selepas itu, kita tak boleh melihat dan tidak mengatakan kita kecewa dan sebab itu, kita mengambil pendekatan lebih berhati-hati pada masa depan terutamanya melibatkan program-program yang bersifat viral.
“Program Trending tidak diharamkan atau ditangguhkan. Episod membabitkan individu itu sahaja kita ‘put on hold’. Maksudnya orang faham status itu. Rancangan akan diteruskan dengan pengisian berbeza,” katanya.
Namanzee ditemui pada majlis pelancaran Kempen Ramadan Syawal 1443H dan Aplikasi Terbaharu TV Alhijrah, di sini semalam.
Ujarnya, ketika dan selepas isu berkenaan tercetus, pihaknya juga tertanya-tanya sama ada berbaloi atau tidak untuk mengadakan program sedemikian demi tatapan penonton.
“Ada ketika, kami merasakan perlukah TV Alhijrah buat program Trending. Ada masa, kami bertanya, kalau inilah yang kita dapat, berbaloi atau tidak kita buat program yang bersifat begini.
“Tapi, apabila kami timbang semula, berbanding satu episod berkenaan, berbelas-belas episod yang telah dibuat, kami merasakan, ia perlu teruskan cumanya akan sangat berhati-hati dengan penerbitan dan bagaimana promosi dalam media sosial,” katanya.
Memberi komen tentang nasib hos jemputan iaitu PU Amin yang bertanggungjawab memuat naik bahan promosi melibatkan individu terbabit, Namanzee berkata, berlaku sedikit salah faham.
“Keperluan TV Alhijrah pula adalah tanggungjawab. Program ini nak tengok lebih kepada macam mana orang Islam akan beri reaksi pada isu yang berlaku.
“Jadi, kami datangkan Ustazah Isfadiah Mohd. Dasuki untuk memberikan tazkirah. Sebenarnya untuk rakaman episod terbabit memang nak siarkan perkara itu yang mana lebih pada apa yang salah, apa yang tidak patut dia (Kak Long 7E) buat dan apa yang perlu dilakukan.
“Saya rasa berlaku salah faham apabila hos jemputan PU Amin, dia mempromosikan episod pada ketika itu dan selesai rakaman dia ambil gambar. Cara gambar itu diambil seolah-olah kita mengangkat individu itu. Sedangkan kehadiran ustazah di situ, mesej yang ingin disampaikan sangat baik iaitu berkaitan tentang semua orang dan keadaan juga.
“Program itu sebelumnya sudah mengangkat ramai ‘unsung heroes’ cuma tidak tular seperti petugas barisan hadapan, pegawai bomba dan ramai lagi. Kami berlapang dada. Apa yang disebarkan dalam media sosial secara tak baik itu kita ambil pengajaran,” katanya.
Terdahulu, selepas terlibat dengan beberapa siri kelakuan biadab viral dalam laman sosial, terbaharu, ‘Kak Long 7E’ kembali merobek hati orang ramai apabila video berdurasi 31 saat memaparkan dirinya melakukan mimik muka dan perwatakan memperlekehkan golongan OKU. – KOSMO! ONLINE