fbpx

Penghantaran surat rasmi ke luar negara guna bahasa Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

KUALA LUMPUR- Penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan terus dipertingkatkan ketika ini apabila Wisma Putra mula menghantar surat kepada negara asing dengan menggunakan bahasa kebangsaan itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, inisiatif tersebut juga selaras dengan kerangka dasar luar Malaysia selain menyokong hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mencadangkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.

“Bagi penggunaan bahasa Melayu di mesyuarat dihadiri Perdana Menteri, ia akan diteruskan termasuk dua mesyuarat besar yang akan dihadiri tahun ini iaitu sidang kemuncak ASEAN dan ucapan beliau di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kami juga akan secepat mungkin menghantar surat daripada Kementerian Luar kepada pihak negara asing menggunakan bahasa Melayu selain akan menyediakan terjemahan yang bersesuaian untuk mereka,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen di sini tadi.

Katanya, amalan penghantaran surat rasmi ke negara antarabangsa lain juga merupakan satu amalan biasa yang turut diamalkan di kebanyakan negara.

“Sebagai contoh, negara Arab menghantar surat ke Wisma Putra menggunakan bahasa Arab dan disertakan dengan terjemahan dalam Bahasa Inggeris.

“Kami akan memulakan juga, seperti menghantar surat atau perutusan ke negara Arab menggunakan bahasa Melayu dan ia akan diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab,” jelasnya.

Semalam, Perdana Menteri memberi keyakinan bahawa bahasa Melayu boleh dijadikan sebagai salah satu bahasa rasmi ASEAN satu hari nanti.

Ismail Sabri berkata, beliau juga akan terus menggunakan bahasa Melayu dalam mana-mana pertemuan, mesyuarat dan persidangan antarabangsa mengikut kesesuain.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI