JAKARTA – Satu pasangan pengantin di Kabupaten Brebes, Jawa Tengah memilih menjalani proses akad nikah di sebuah hospital bagi menghormati permintaan bapa pengantin perempuan yang sedang sakit, lapor laman Suara.com.
Majlis akad nikah itu berlangsung di Hospital Bhakti Asih dan videonya dimuat naik di laman Instagram rasmi fasiliti kesihatan tersebut.
Menurut Pengurus Perkhidmatan Pelanggan Hospital Bhakti Asih, Muhammad Iqbaluddin, pasangan pengantin, Maya Agustiani dan Ahmad Zahrudin selamat dinikahkan di bilik rawatan tetamu kehormat atau VIP.
“Ayah Maya dirawat di sini kerana penyakit anemia atau kurang darah, jadi dia meminta agar majlis diadakan di hospital agar boleh dihadiri walaupun dalam keadaan kurang sihat.
“Majlis berjalan lancar meskipun persiapan yang dilakukan adalah di saat akhir kerana kami tidak pernah menganjurkan majlis seperti ini di hospital,” jelas Iqbaluddin. – Agensi