fbpx

Penganggur didakwa rompak barang kemas ibu saudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis membawa Muhammad Zulhisham (kiri) untuk didakwa Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak seutas rantai leher dan loket berbentuk bunga milik dua orang ibu saudaranya sendiri, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Zulhisham Mohd. Zulkifli, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan rompak bersenjatakan pisau terhadap Hasanah Husein, 55, dan Safiah Ismail, 72, dengan merampas seutas rantai leher bersama satu loket berbentuk bunga.

Kesalahan itu dilakukan di Taman Profil, Jalan Padang Tembak dekat Pengkalan Chepa di sini kira-kira pukul 10.29 malam pada 17 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ahmad Fariz tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh telah merompak dua orang ibu saudaranya sendiri.

Tertuduh dalam rayuannya memohon jaminan diberikan kerana sudah insaf dan menyesal dengan perbuatan yang telah dilakukan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetap 25 April depan untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, tertuduh memasuki rumah ibu saudaranya dengan memakai topeng namun, kedua-dua wanita tersebut mengecam susuk tubuh dan suara ahli keluarganya itu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI