KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan mengemukakan pertuduhan pindaan terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung kes pecah amanah RM1 juta dan penyalahgunaan wang RM120,000 milik sebuah parti politik di Mahkamah Tinggi di sini.
Dalam prosiding hari ini, Syed Saddiq bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan pindaan itu ketika kes disebut di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin sewaktu mengemukakan pertuduhan pindaan berkata, tiada perubahan pada tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini.
Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq juga tidak membantah terhadap pertuduhan pindaan yang dikemukakan.
Mahkamah kemudian mengekalkan perbicaraan selama 22 hari bermula 7 hingga 10 Jun, 20 hingga 22 Jun, 27 dan 28 Jun serta 4 hingga 8 Julai, 13 hingga 15 Julai dan 18 hingga 22 Julai ini.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta sebuah parti politik dengan menyalahgunakan dana tersebut.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim iaitu Penolong Bendahari Armada yang diamanahkan dengan penguasaan dana tersebut. – KOSMO! ONLINE