BALING- Pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) ditemui mati lemas di Sungai Limau dekat sini pada petang tadi.
Mayat mangsa, Muhammad Saiful Ezzuddin Mustafa, 14, dijumpai di dalam paip penyedut pasir sungai kira-kira pukul 5.46 petang.
Mangsa dilaporkan lemas selepas mandi di Sungai Ketil berhampiran Kampung Teluk Sungai Durian di sini bersama beberapa rakannya pada pukul 1 petang semalam.
Ketua Zon 3 Kulim Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Penguasa Kanan Bomba II Rahimi Ali memberitahu, penemuan mangsa dilaporkan penjaga pam di Sungai Limau pada pukul 5.46 petang.
Kata beliau, lokasi mangsa dipercayai lemas dan mayat ditemui adalah sejauh kira-kira 9 kilometer.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Muhammad Saiful Ezzudin pulang bercuti di kampung sejak 19 Mac lalu dan dijadualkan kembali melapor diri di akademi tersebut pada Ahad ini. – KOSMO! ONLINE.