PETALING JAYA – Pelakon popular Didie Alias memberi amaran kepada para pelakon baharu untuk tidak menggunakan gimik murahan semata-mata ingin meraih populariti segera.
Menurut Didie atau nama sebenarnya Fadzillah Mohd Ali, 49, menggunakan gimik murahan atau onar walaupun baru bergelar artis bukan cara yang tepat untuk terus dikenali ramai.
Pelakon drama Takdir Yang Tertulis itu terpanggil mengulas isu pendatang baharu, Siti Hariesa yang semakin dikenali ramai selepas melakonkan adegan panas bersama Zul Ariffin untuk drama Perempuan Itu.
“Untuk pelakon baharu, kadang-kadang mereka buat benda yang bukan salah sendiri tetapi disuruh untuk promosi namun mereka juga perlu berakal.
“Tolonglah, jangan hadir dalam industri seni semata-mata untuk datang dan pergi.
“Kekallah dengan bakat yang ada, tak perlu gunakan cara sebegitu (babak panas) untuk dikenali,” katanya usai majlis pelancaran produk kecantikan Aisel di ibu negara semalam.
Pelakon yang terkenal dengan watak Mak Yek menerusi drama Cukup Derita Itu turut menasihatkan setiap pelakon baharu supaya tidak melakukan sebarang onar sepanjang bergelar selebriti.
“Tidak kisahlah mereka pesohor media sosial ataupun pempengaruh, masuklah industri hiburan seikhlas hati.
“Jangan masuk untuk suka-suka dan tinggalkan kenangan pahit atau busuk dalam industri,” katanya lagi.
Bercakap mengenai tindakan memuat naik sedutan adegan berahi drama Perempuan Itu sehingga dikecam dan bakal berdepan tindakan undang-undang, Didie melihat strategi viral merupakan perkara normal untuk menjual sesebuah drama namun perlulah dilakukan secara beretika.
“Sekarang normal, perlu ada benda viral dan gimik untuk jual drama tetapi jika babak begitu, memang tidak boleh diterima di Malaysia.
“Zaman dulu ada juga babak pelakon berkemban, tetapi penerimaan orang zaman sekarang berbeza kerana mereka berfikiran menjangkaui batas,” tuturnya.
Ujarnya, tindakan Zul berkongsi video tersebut juga diibaratkan seperti menjatuhkan diri sendiri kerana tidak berfikir apakah akibat yang bakal dilaluinya seperti hari ini.
“Dia menjatuhkan diri sendiri dan benda ini berkaitan dengan agama. Kita (selebriti) adalah contoh dan idola, buat perkara buruk akan jadi ikutan ramai.
“Fikirlah dengan bijak dan jangan buat benda merepek untuk content. Bahaya, dia tanam diri sendiri,” jelasnya.
Terdahulu, adegan panas lakonan Zul dan Siti Hariesa mencetuskan huru-hara dalam media sosial baru-baru ini dan menerima teguran daripada banyak pihak.
Rentetan itu, Zul turut dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi memberi keterangan berhubung isu tersebut.
Sementara, Siti Hariesa pula masih kekal dengan pendirian berdiam diri dan tidak memberi sebarang komen sehingga hari ini. – KOSMO! ONLINE