KLANG – Taktik pendatang asing tanpa izin (PATI) memanjat pagar kilang dan menyorok di sebalik mesin acuan plastik untuk meloloskan diri gagal apabila dicekup pihak berkuasa semalam.
Dalam serbuan pukul 9 pagi di dua buah kilang menerusi Ops Mahir itu menahan seramai 98 warga asing berusia 22 hingga 60 tahun
Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Dr. Muhammad Syahmi Jaafar berkata, operasi khas disertai 21 pegawai dan anggota Bahagian Penguat kuasa itu dilakukan hasil maklumat mengenai kewujudan PATI di kilang tersebut.
Katanya, semakan mendapati dua premis itu merupakan kilang kitar semula barangan logam dan kilang pengeluaran produk plastik.
“Seramai 150 warga asing diperiksa dan 98 daripada mereka ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan Imigresen.
“Kesemua PATI terdiri daripada 64 lelaki dan 34 wanita itu antaranya warga Indonesia, Myanmar, China, Pakistan dan Bangladesh,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE.