PETALING JAYA – Tindakan seorang penuntut kolej swasta warga Jepun yang membuat laporan polis palsu kononnya disamun dan dirogol lelaki Afrika membawa padah, apabila dia didenda maksimum RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Muhamad Iskandar Zainol menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Ageha Matsuzaki, 20, selepas wanita itu mengaku bersalah atas pertuduhan disabitkan ke atasnya selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris.
Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu, dia boleh dipenjara selama dua bulan dan tertuduh membayar jumlah denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Ageha didakwa telah memberikan maklumat secara bertulis yang tertuduh mengetahui ianya adalah palsu sehingga menyebabkan pegawai penyiasat polis melakukan siasatan.
Kesalahan itu dilakukan di Balai Polis Seri Kembangan di sini pukul 12.30 tengah hari pada 2 Februari lalu yang didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen memperuntukkan penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu peguam Mustaqeem Aziz yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah dan kesalahan yang dilakukan telah memberi pengajaran.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Wafi Husain memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana perbuatan tertuduh yang membuat laporan palsu menyusahkan banyak pihak terutama pihak polis. – KOSMO! ONLINE.