KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman akan bekerjasama dengan Bank Negara (BNM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menangani jenayah penipuan dalam talian yang semakin meningkat di negara ini.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md Din berkata, kerjasama tiga agensi yang akan bermula Jun ini dilihat dapat mempercepatkan tindakan susulan bagi mengelak lebih ramai yang menjadi mangsa penipuan.
“Kedua-dua agensi itu akan bekerjasama sepenuhnya melalui pusat panggilan CCID Scam Response Center yang mana memberi kemudahan kepada masyarakat untuk berkomunikasi secara langsung dengan JSJK.
“Paling penting kita mahu mengesan ‘money trail’ kerana proses sindiket itu memindahkan wang milik mangsa ke akaun lain sangat pantas iaitu kurang tempoh 30 minit,” ujarnya pada sidang akhbar JSJK di Menara KPJ, di sini hari ini.
Jelas beliau, penugasan panggilan CCID Scam Response Center itu telah dimulakan pada 15 Februari tahun lalu dan beroperasi setiap hari mulai pukul 8 pagi hingga 10 malam.
“Sejak hari pertama beroperasi hingga kini, jumlah panggilan yang diterima adalah sebanyak 2,399.
“Daripada jumlah itu sebanyak 1,530 panggilan atau 63.4 peratus merupakan panggilan yang bertanyakan tentang modus operandi jenayah macau scam, love scam, pembelian dalam talian, pinjaman tidak wujud, penipuan pelaburan dan ah long.
“Sebanyak 869 panggilan pula melibatkan lain-lain pertanyaan, penyaluran maklumat jenayah dan sebagainya,” katanya.- KOSMO! ONLINE